Hebatnya ilmu Allah


“Berkata ‘Ifrit (yang cerdik) dari golongan jin: ‘Aku akan datang kepadamu dengan membawa singgasana itu kepadamu sebelum kamu berdiri dari tempat dudukmu; sesungguhnya aku benar-benar kuat untuk membawanya lagi dapat dipercaya’.” (QS. an-Naml 27:39)

“Berkatalah seorang yang mempunyai ilmu dari Al Kitab: ‘Aku akan membawa singgasana itu kepadamu sebelum matamu berkedip’. Maka tatkala Sulaiman melihat singgasana itu terletak di hadapannya, iapun berkata: ‘ini termasuk kurnia Tuhanku untuk mencoba aku apakah aku bersyukur atau mengingkari (akan nikmat-Nya). Dan barang siapa yang bersyukur maka sesungguhnya dia bersyukur untuk (kebaikan) dirinya sendiri dan barang siapa yang ingkar, maka sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya lagi Maha Mulia’.” (QS. an-Naml 27:40)

Dua ayat di atas adalah maksud dari firman Allah SWT dalam surah an-Naml. Begini kisahnya:

Nabi Sulaiman (a.s.) adalah salah seorang hamba Allah SWT yang terpilih di antara hamba-hamba Nya yang lain. Baginda beri kelebihan hikmah dan ilmu dengan dikurniakan mukjizat yang besar dari Allah SWT. Antara mukjizat yang tersebut ialah boleh memahami dan berinteraksi dengan jin dan haiwan. Allah SWT juga telah menundukkan angin kencang untuk membawa Nabi Sulaiman (a.s.) ke sesuatu tempat yang diberkati Nya, menundukkan segolongan syaitan dan segolongan jin supaya berkhidmat kepada Nabi Sulaiman (a.s.). Semuanya berlaku dengan kekuasaan dan keizinan dari Allah SWT.

Pada suatu masa dahulu, Nabi Sulaiman (a.s.) dengan kekuasaan Tuhan telah menghimpunkan bala tenteranya yang terdiri dari golongan jin, manusia dan burung-burung. Maka berhimpun lah mereka mengikut tertib dalam barisan masing-masing.

Ketika memeriksa barisan tenteranya dari kalangan burung-burung, baginda menyedari bahawa Burung Hud-hud tidak hadir dalam perbarisan. Baginda berkata bahawa Hud-hud akan dikenakan hukuman atau disembelih sekiranya ketidakhadirannya tanpa alasan yang jelas.

Tidak lama kemudian Hud-hud pun datang dengan membawa suatu berita penting dari negeri Saba yang didakwa Hud-hud, baginda sendiri pun belum mendengarnya. Hud-hud pun bercerita lah mengenai Puteri Balqis, pemerintah negeri Saba yang dianugerahi segala apa yang dihajati serta mempunyai singahsana yang besar. Hud-hud juga melaporkan bahawa puteri tersebut dan rakyat di bawah naungannya menyekutukan Allah SWT lalu menyembah matahari kerana mereka telah disesatkan oleh syaitan.

Baginda seraya bertitah kepada Hud-hud, “Akan kami lihat, apa kamu benar, ataukah kamu termasuk orang-orang yang berdusta. Pergilah dengan membawa suratku ini, lalu jatuhkanlah kepada mereka, kemudian berpalinglah dari mereka, lalu perhatikanlah apa yang mereka bicarakan.”

Maka Hud-hud pun melakukan sebagaimana yang dititahkan oleh Nabi Sulaiman (a.s.) dengan membawa sepucuk surat lalu dijatuhkan kepada Puteri Balqis. Kemudiannya Hud-hud berpaling dan mencuri dengar perbualan puteri dengan para pembesarnya.

Lalu Puteri Balqis berkata, “Hai pembesar-pembesar, sesungguhnya telah dijatuhkan kepadaku sebuah surat yang mulia. Sesungguhnya surat itu, dari Sulaiman dan sesungguhnya: ‘Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Bahawa janganlah kamu sekalian berlaku sombong terhadapku dan datanglah kepadaku sebagai orang-orang berserah diri ‘.”

Puteri Balqis kemudiannya meminta nasihat dari para pembesar negeri dalam membuat keputusan bagi menentukan tindakan yang sepatutnya diambil. Namun para pembesarnya menyerahkan pertimbangan tersebut di tangan puteri sendiri dengan berkata, “Kita adalah orang-orang yang memiliki kekuatan dan memiliki keberanian yang sangat (dalam peperangan), dan keputusan berada di tanganmu; maka pertimbangkanlah apa yang akan kamu perintahkan”.

Puteri seraya berkata kepada para pembesar, “Sesungguhnya raja-raja apabila memasuki suatu negeri, nescaya mereka membinasakannya, dan menjadikan penduduknya yang mulia jadi hina; dan demikian pulalah yang akan mereka perbuat dan sesungguhnya aku akan mengirim utusan kepada mereka dengan (membawa) hadiah, dan (aku akan) menunggu apa yang akan dibawa kembali oleh utusan-utusan itu.”

Hud-hud pun pulang melaporkan kepada Nabi Sulaiman (a.s.) tentang apa yang telah didengarinya. Utusan dari Puteri Balqis pun tiba kepada Nabi Sulaiman (a.s.). Baginda kemudiannya membalas utusan dengan mesej berbunyi: “Apakah kamu menolong aku dengan harta? Maka apa yang diberikan Allah kepadaku lebih baik daripada apa yang diberikan Nya kepadamu; tetapi kamu merasa bangga dengan hadiahmu. Kembalilah kepada mereka sungguh kami akan mendatangi mereka dengan bala tentara yang mereka tidak kuasa melawannya, dan pasti kami akan mengusir mereka dari negeri itu (Saba) dengan terhina dan mereka menjadi (tawanan-tawanan) yang hina dina”.

Setelah utusan tersebut berangkat ke negeri Saba, Nabi Sulaiman (a.s.) berbincang dengan para pembesar baginda mengenai niatnya untuk membuatkan kerajaan negeri Saba menyerah diri dan seterusnya menerima Islam. Baginda telah mempunyai rancangan yang bijaksana bagaimana hendak membuatkan Puteri Balqis mengaku kalah dengan bukti kebesaran Allah SWT.

“Hai pembesar-pembesar, siapakah di antara kamu sekalian yang sanggup membawa singgahsananya kepadaku sebelum mereka datang kepadaku sebagai orang-orang yang berserah diri?”, tanya baginda.

Pertanyaan tersebut telah disahut oleh sejenis jin yang cerdik bernama Ifrit yang menjawab, “Aku akan datang kepadamu dengan membawa singgasana itu kepadamu sebelum kamu berdiri dari tempat dudukmu; sesungguhnya aku benar-benar kuat untuk membawanya lagi dapat dipercayai”.

Jin Ifrit menganggap dirinya benar-benar kuat untuk membawa singgahsana Puteri Balqis dalam kadar yang pantas iaitu sebelum pun nabi Sulaiman (a.s.) berdiri dari keadaan duduknya.
Tiba-tiba seorang hamba Allah dari kalangan manusia yang dikurnia ilmu Allah SWT dari al-Kitab pula menyahut, “Aku akan membawa singgahsana itu kepadamu sebelum matamu berkedip”. Sebelum sempat mata Nabi Sulaiman (a.s.) berkedip, maka tersergamlah singgahsana Puteri Balqis di hadapan baginda, seraya baginda berkata: “Ini termasuk kurnia Tuhanku untuk mencuba aku apakah aku bersyukur atau mengingkari (akan nikmat-Nya). Dan barang siapa yang bersyukur maka sesungguhnya dia bersyukur untuk dirinya sendiri dan barang siapa yang ingkar, maka sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya lagi Maha Mulia”.

Singgahsana tersebut kemudiannya diubah suai untuk menguji samada Puteri Balqis masih dapat mengenali singgahsananya sendiri atau sebaliknya.

Puteri Balqis pun berangkat tiba menemui Nabi Sulaiman (a.s.). Setibanya di perkarangan, baginda pun bertanya kepada puteri, “Serupa inikah singgahsanamu?”.
Puteri Balqis pun menjawab, “Seakan-akan singgahsana ini singgahsanaku, kami telah diberi pengetahuan sebelumnya dan kami adalah orang-orang yang berserah diri.”. Maka puteri pun mengaku kalah dan menyerah diri. Benarlah puteri yang selama ini menyembah matahari telah terpedaya dengan hasutan syaitan yang menghalangnya dari menerima petunjuk.

Kemudiannya Puteri Balqis dijemput pula masuk ke dalam istana Nabi Sulaiman (a.s.). Maka tatkala Puteri Balqis melihat lantai istana itu, terus disangkanya kolam air yang besar lalu disingkapkannya kain secara sehingga menampakkan kedua betisnya dan menyebabkannya terasa malu. Berkatalah Nabi Sulaiman (a.s.): “Sesungguhnya ia adalah istana licin terbuat dari kaca”. Berkatalah Balqis: “Ya Tuhanku, sesungguhnya aku telah berbuat lalim terhadap diriku dan aku berserah diri bersama Sulaiman kepada Allah, Tuhan semesta alam”.

Puteri Balqis pun menerima Islam dengan berserah kepada Allah SWT dan mengakui bahawa Allah itu Tuhan semesta alam.

Begitulah kisah yang membuktikan kebesaran Allah SWT yang telah mengurniakan ilmu-ilmu Nya kepada dua orang hamba pilihan Nya iaitu Nabi Sulaiman (a.s.) dan seorang lagi pengamal ilmu dari al-Kitab sehinggakan Puteri Balqis dan rakyatnya keluar dari kekafiran.

Sekian.

Nota:

1. Kisah ini telah saya ambil dari al-Quran: QS. an-Naml 27: ayat 16 – 44; QS. al-Anbiya 21: ayat 78 – 82 dan QS. Saba 34: ayat 15 – 18.

2. Pengamal ilmu dari al-Kitab yang mengangkat singgahsana tersebut (dengan izin Allah SWT) di sebut namanya sebagai Asif ibn Barakhia atau Asif ibn al-Birkhia oleh beberapa ahli hadis seperti Imam Jaafar al-Sadiq dan Imam Muhammad al-Baqir manakala ilmu tersebut juga dikenali sebagai Tayy al-Arḍh. wallahu a’lam.

3. Penemuan arkeologi terkini di kawasan Mahram Bilqis (Mahram Bilkees, “Temple of the Moon Deity”) di Mareb, Yemen menguatkan lagi hipotesis saintis bahawa Puteri Balqis telah memerintah di bahagian Selatan Arab, dengan pembuktian yang mencadangkan bahawa kawasan tersebut ialah ibu negeri Kerajaan Balqis. Sepasukan penyelidik dari American Foundation for the Study of Man (AFSM) yang diketuai oleh pakar arkeologi, Dr. Bill Glanzman (University of Calgary), telah cuba untuk merungkai rahsia pusat penyembahan matahari yang berusia 3,000 tahun tersebut di Yemen.


sumber:http://bambies.wordpress.com/2010/04/03/hebatnya-ilmu-allah/

Share this article :

Posting Komentar

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. ISLAM BERWAWASAN - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger